Lelaki warga emas ditemui lemas di Sungai Batang Oya

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DALAT: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Batang Oya di Kampung Tanam Seberang, Dalat, Mukah.

Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 meter ke hulu sungai dari lokasi kejadian pada 9.15 pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR memasuki hari kedua selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang semalam berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, pengadu memaklumkan terlihat sebuah perahu melanggar jeti berhampiran sebuah rumah sebelum terbalik.

Pemeriksaan mendapati mangsa yang berada dalam perahu berkenaan sudah tiada dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah memulakan operasi pencarian hari kedua pada 9.00 pagi tadi sebelum menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti untuk proses pengecaman oleh waris sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan tiga anggota bomba bersama sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux serta sebuah bot aluminium ditamatkan pada 11.00 pagi.

Turut terlibat dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Dalat serta penduduk kampung.

Oleh Afiq Sallehi