
MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian.
Tertuduh berusia 28 tahun itu didapati bersalah mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti berkaitan perjudian dalam talian di sebuah premis di Taman Gilbert pada 15 Jun lalu.
Tertuduh ditahan kira-kira 9.00 malam hasil pemeriksaan mengejut sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut serta wang tunai berjumlah RM110.
Dalam kes berasingan, seorang wanita tempatan berusia 33 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan dikenakan denda RM2,500 oleh mahkamah.
Wanita itu ditahan pada 18 Jun lalu kira-kira 2.35 petang selepas didapati menjalankan aktiviti penjualan tambah nilai judi atas talian (JOL).
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM152 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
Sementara Ketua Polis Daerah,Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian haram termasuk yang dijalankan menerusi platform dalam talian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian sama ada secara fizikal mahupun atas talian kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya menerusia satu hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri malam tadi.
Oleh Liong Chai Ling