MUKAH, 7 Oktober: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah pagi tadi atas pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah secara salah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 25 tahun sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Oon Kork Chern.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Nazri Harissman Daee, memohon tarikh baharu bagi sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia barang kes.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 7 Disember 2026 sebagai tarikh sebutan lanjut kes.
Tertuduh tidak diberikan jaminan dan akan ditahan di Penjara Sibu sementara menunggu tarikh sebutan lanjut.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu di kawasan pinggir hutan Lorong Anggun, Jalan Mukah-Balingian, pagi semalam.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, kira-kira 11.45 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat kasar 0.62 gram dalam simpanan suspek.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Rizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Katanya, polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Oleh Akun Giman


