
KUCHING: Seorang lelaki berusia 41 tahun berdepan detik cemas apabila dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di atas sebuah kren pembinaan setinggi kira-kira 54 meter di kawasan Tunku Putra-HELP School, The Northbank, Jalan Kuching Samarahan Expressway, Tabuan Jaya malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.16 malam.
Menurut beliau, maklumat awal yang diterima daripada pengurus tapak pembinaan memaklumkan mangsa sepatutnya turun dari kren berkenaan sekitar 5.00 petang.
“Namun selepas beberapa kali cuba menghubungi mangsa tanpa sebarang jawapan, pihak pengurusan bertindak menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika pasukan bomba tiba, mangsa dipercayai tidak sedarkan diri dan masih berada di bahagian atas kren.
Perkembangan lanjut mengenai keadaan mangsa dan tempoh operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Oleh Adele Rissa