
DALAT: Kegiatan memburu 13 sekawan di kawasan ladang sawit bertukar tragedi apabila seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun maut selepas dipercayai tertembak oleh rakannya sendiri dalam kejadian di Ladang Sawit Pelita, Mudan, Jalan Oya/Igan, semalam.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 7.52 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit keluar memburu seawal 7.00 pagi sebelum insiden berlaku sekitar 5.15 petang.
“Ketika kejadian, pengadu yang juga rakan mangsa ternampak kelibat dipercayai menyerupai seekor babi hutan di kawasan belukar lalu melepaskan tembakan menggunakan senapang patah buatan sendiri (bakakuk).
“Bagaimanapun, sebaik membuat pemeriksaan, pengadu terkejut apabila mendapati dia sebenarnya tertembak rakannya yang terbaring berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengadu bersama beberapa rakan lain kemudian membawa mangsa yang dipercayai sudah tidak bernyawa ke Balai Polis Mukah.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian atau semasa dalam perjalanan ke balai polis.
“Walaupun kejadian berlaku dalam kawasan tanggungjawab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat, pengadu terlebih dahulu ke Balai Polis Mukah untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Mukah untuk bedah siasat manakala pengadu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.
Oleh Tarani Lanting