
KUCHING: Lelaki cedera selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Tapang, di sini petang tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.35 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu kereta tersebut.
“Anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan pengusung bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

JPBM turut memaklumkan bahawa mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kepala dilaporkan dalam keadaan sedar sebelum dibawa ke hospital berhampiran menggunakan ambulans KKM.
“Maklumat pengenalan diri mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.
“Operasi diketuai oleh PBK I Tiwi Nios dan tamat sepenuhnya pada 4.10 petang selepas lokasi disahkan selamat dan terkawal,” ujarnya.
Turut membantu dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas KKM.