

LIMBANG: Seorang lelaki terselamat selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Medamit di sini, pagi tadi.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, mangsa yang berusia 56 tahun berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pegawai perubatan Klinik Batu Danau dengan bantuan polis dan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.49 pagi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa telah terbabas ke dalam parit.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dari Klinik Batu Danau telah tiba lebih awal di lokasi dan mengeluarkan mangsa dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam sebelum memberikan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Oleh Adeng Edrus