
SARATOK: Polis Daerah Saratok berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di Kampung Bunga Raya Saratok, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat awam yang diterima pada hari yang sama berhubung seorang lelaki disyaki penagih yang berada di tepi jalan kampung berkenaan.
Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan Petugas Khas Op Tapis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai oleh Sub Inspektor Engelbert telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek seperti yang dimaklumkan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tujuan ujian saringan air kencing serta semakan rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil ujian saringan mendapati suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan lanjut juga mendapati lelaki tersebut mempunyai empat rekod jenayah lampau, masing-masing satu kes narkotik dan tiga kes jenayah lain.
DSP Mathew berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di Daerah Saratok, selain menggalakkan orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman