
SARATOK: Seorang lelaki tempatan ditahan dalam Operasi Tapis Khas yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di sekitar Kabong, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dibuat pada 18 Disember lalu menerusi operasi yang berlangsung antara 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam, hasil maklumat dan risikan Balai Polis Kabong.
Menurutnya, sepasukan Pasukan Petugas Khas Op Tapis IPD Saratok yang diketuai oleh Inspektor Wealy James bersama Ketua Balai Polis Kabong, Sarjan Fadzillah, telah menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu di dalam beg silang milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


DSP Mathew berkata, suspek yang merupakan penduduk tempatan Kabong kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kabong untuk tindakan lanjut termasuk ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Tambah DSP Mathew, pihak polis turut merampas satu paket lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 0.33 gram sebagai barang kes.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman