
BINTANGOR: Tindakan pantas polis dalam Operasi Tapis membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Daerah Meradong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata suspek ditahan sekitar 8.15 pagi oleh sepasukan polis Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong ketika operasi pencegahan dijalankan di sekitar daerah tersebut.
“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut sebelum menjalani ujian saringan air kencing di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong.
“Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun rekod berkaitan kes dadah sebelum ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Pihak kami memandang serius sebarang kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang kerana ia memberi kesan buruk kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Operasi penguatkuasaan dan pencegahan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan dadah di daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek