
LUBOK ANTU: Tindakan seorang lelaki tempatan yang dipercayai cuba melindungi serta membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa padah apabila dia ditahan bersama tiga lelaki warga asing dalam satu operasi khas polis di Jalan Pekan Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 38 tahun ditangkap dalam Op Lejang/Pintas yang dijalankan oleh pihak polis di kawasan tersebut.
Polis memaklumkan bahawa sebelum tangkapan dibuat, pasukan operasi telah mengekori kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pekan Engkilili sebelum kenderaan tersebut ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan sedang membawa tiga lelaki warganegara asing menggunakan kenderaan berkenaan bagi tujuan bekerja di kawasan sekitar Engkilili.

Siasatan lanjut turut mendapati ketiga-tiga lelaki warga asing tersebut telah tinggal lebih masa di Malaysia dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Berikutan itu, kesemua individu berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Polis turut merampas kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipercayai digunakan suspek lelaki tempatan untuk membawa warga asing tersebut.
Dalam pada itu, IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus komited menjalankan operasi secara berterusan termasuk sepanjang Ramadan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta ketenteraman awam di daerah ini sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman