
SIMANGGANG: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sri Aman semalam atas pertuduhan terlibat sebagai keldai akaun dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud yang dilaporkan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, tertuduh Evander Libau Matthew Janang, berasal dari Sibu, telah didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan kerana membenarkan akaun bank miliknya digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian.
Menurut beliau, tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yang Arif Intan Nurul Farena Zainal Abidin dan telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara sebagai ganti.
Namun begitu, tertuduh gagal membayar denda berkenaan dan diarahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.
Tambahnya, kesalahan di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siasatan mendapati tertuduh terlibat dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3,749.
Dalam kegiatan tersebut, tertuduh berperanan sebagai keldai akaun, iaitu individu yang membenarkan akaun bank peribadinya digunakan untuk menerima wang hasil jenayah penipuan.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan di laman media sosial atau platform dalam talian yang tidak sah.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan jenayah siber seperti telefon scam, love scam, e-dagang atau pinjaman tidak wujud, khususnya yang baru melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun atau e-dompet suspek, dinasihatkan agar segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan segera.
Oleh Adi Safarman