
LIMBANG: Tindakan seorang lelaki menyorok syabu terbongkar selepas dia ditahan menerusi Op Tapis harian oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 2.00 petang di tepi Jalan Tarap, di sini.
“Dalam serbuan itu, suspek ditahan bersama satu paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 0.2 gram.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak awal 2025 serta bekerja sebagai buruh kasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine.
Dalam kes berasingan, katanya lelaki berusia 22 tahun turut ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek itu didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah serta menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Limbang, Sarawak di talian 085-211466 atau hotline 24 jam JSJN Sarawak di talian 017-5929211, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Adeng Edrus