KUCHING: Seorang lelaki kerugian RM271,100 selepas tertipu dengan tawaran pelaburan ‘Pimco Malaysia Station’ yang tidak wujud melalui laman media sosial Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima satu laporan daripada mangsa berusia dalam lingkungan 30an pada 10 Jun lepas berhubung kes penipuan pelaburan itu.
“Mangsa yang merupakan seorang pekerja swasta telah menekan satu pautan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menjalankan pelaburan itu dengan memuat turun aplikasi ‘T.PowerPricePlus’ yang dijanjikan pulangan tinggi iaitu 400 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tertarik dengan pulangan menguntungkan, jelas Mancha, mangsa kemudiannya bertindak membuat 18 transaksi wang secara berperingkat ke enam akaun bank berbeza berjumlah lebih kurang RM270,000 pada penghujung April lalu hingga Jun ini.
Mancha berkata, mangsa yang tidak mendapat sebarang pulangan keuntungan kemudiannya telah diminta untuk membuat bayaran komisen bagi mendapatkan kembali kesemua wangnya.
Menurut Mancha lagi, mangsa yang enggan membuat bayaran berkenaan telah mula curiga dan percaya dirinya telah ditipu.
Mengulas lanjut mengenai kes penipuan pelaburan, Mancha berkata, sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 27 kertas siasatan membabitkan modus operandi sama dibuka dengan kerugian sehingga RM2,920,589.89.
Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Oleh Connie Chieng