KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun kerugian RM104,310 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa membuat laporan selepas dimaklumkan rakannya bahawa akaun WhatsApp miliknya dipercayai telah digodam.
Menurutnya, kejadian bermula pada 13 Ogos lalu ketika mangsa berada di pejabat sebelum menerima pesanan aplikasi WhatsApp daripada individu yang dipercayainya sebagai rakannya.
“Suspek meminta bantuan mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu bagi tujuan pembelian barang.
“Mangsa yang percaya dengan permintaan itu kemudian membuat empat transaksi ke tiga akaun bank berbeza antara 13 Ogos hingga semalam, berjumlah RM104,310,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, semalam mangsa dimaklumkan rakannya bahawa akaun WhatsApp miliknya dipercayai telah digodam dan menafikan pernah meminta mangsa membuat transaksi berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM104,310,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak panik dan segera menamatkan panggilan mencurigakan, selain tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali.
Orang ramai turut dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pembayaran kepada pihak ketiga serta menyemak nombor akaun dan telefon mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule PDRM.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dibuat menerusi Hotline JSJK Sarawak di talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline 997 Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi 24 jam.
Oleh Shikin Mahmud




