
SIBU: Seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM300 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran perkhidmatan membersihkan kubur yang tidak wujud.
Walaupun jumlah kerugian itu tidaklah sebesar manapun, namun ia sudah cukup untuk dijadikan pengajaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.
Mangsa, Oliver Wong, memberitahu pada 5 Mac lalu sekitar 7.00 malam, dia telah melayari laman sosial Facebook, dan terlihat hantaran perkhidmatan membersihkan kubur dari akaun atas nama ‘Vincent Kong.’
“Tertarik dengan tawaran tersebut, saya telah menghubungi nombor WhatsApp yang tertera, dan bertanyakan tentang tawaran itu.
“Kemudian, saya bersetuju untuk membuat pembayaran bagi perkhidmatan yang ditawarkan sebanyak RM300.
“Selesai memasukkan wang tersebut ke dalam akaun yang diberikan atas nama seorang lelaki, dia menawarkan untuk menambah perkhidmatan membakar duit dan bayaran yang dikenakan sebanyak RM88.
“Jadi, saya bersetuju untuk menambah perkhidmatan tersebut dan kami berjanji akan berjumpa pada 17 Mac untuk saya serahkan wang untuk dibakar.
“Tetapi, pada hari yang dijanjikan, dia tidak berjumpa dengan saya.
“Panggilan telefon tidak dijawab dan gagal untuk dihubungi.
“Berhubung perkara itu, saya datang ke balai untuk membuat laporan semalam, 19 Mac,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Wong memberitahu, dia mempercayai lelaki terbabit kerana masyarakat Cina ada pantang, dan ini adalah perkhidmatan membersihkan kubur.
“Saya ingat tidak ada orang akan menipu dalam perkhdimatan ini, sebab itu saya percayakan dia,” katanya.
Sebelum membuat laporan polis, Wong telah membuat satu video tentang kes tersebut dan memuat naik dalam Facebooknya.
“Selepas video itu dimuatnaik dalam facebook, pemilik akaun bank tersebut telah menghantar WhasApp dan menghubungi saya, dia macam sangat gelisah.
“Dia memberitahu saya bahawa dia adalah pemilik akaun bank terbabit, dia tidak ada buat perkara ini untuk scam orang.
“Tapi dia pernah sewakan akaun untuk orang lain menjalankan kegiatan perjudian, dan dia tidak tahu orang pakai dia punya akaun untuk buat scam,” katanya.
Menurutnya, pemilik akaun terbabit meminta untuk padamkan video itu kerana mendatangkan masalah kepadanya.
“Dia cakap, ahli keluarga, kawan dan semuanya cari dia. Saya cakap dengan dia, sekarang ramai orang sudah kena tipu dan ramai duit orang telah masuk ke dalam akaun itu.
“Kalau mahu tutup kes ini mesti membuat laporan di balai polis, awak harus memberitahu pihak polis bahawa awak menyewakan akaun dan orang itu membuat pernipuan.
“Dia berjanji akan memulangkan semua duit itu, tapi selepas itu dia hilang lagi. Sekarang saya tidak dapat lagi menghubungi dia,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Stanley Chew.
Oleh Akun Giman