
MIRI: Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM233,950 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud sejak Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) menerima laporan berkaitan kes itu pada semalam.
Menurut beliau, mangsa yang berusia lingkungan 30-an pada awalnya tertarik dengan tawaran pelaburan saham melalui sebuah laman sesawang sebelum diminta membuka akaun untuk tujuan pelaburan.
“Mangsa turut menyertai satu kumpulan ‘WhatsApp’ pelaburan saham yang memaparkan kononnya keuntungan diperoleh ahli kumpulan lain sehingga mendorong mangsa mencuba pelaburan tersebut dengan modal RM100.
“Hasil percubaan awal itu, mangsa menerima pulangan sebanyak RM700 ke dalam akaunnya sebelum terus membuat pelaburan dalam jumlah lebih besar kerana dijanjikan keuntungan berlipat kali ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata mangsa kemudian melakukan sebanyak 27 transaksi bayaran kepada 21 akaun bank berbeza.
Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan sedangkan keuntungan yang dijanjikan tidak diterima.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM233,950,” jelas beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Oleh Liong Chai Ling