
SIBU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengintai seorang wanita yang sedang mandi.
Tertuduh, Tohmas Renga Rabing, 29, dari Sebakong Mukah, mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern atas pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 7 Oktober lalu sekitar 7.10 malam di bilik mandi sebuah rumah kedai di Jalan Ding Lik Kong.
Menurut fakta kes, mangsa berusia 19 tahun sedang mandi apabila menyedari seseorang sedang merakamnya menggunakan telefon pintar.
Mangsa menjerit dan memanggil bapanya yang berada di bilik lain.
Bapanya kemudian menendang pintu tandas bersebelahan dan mendapati seorang penyewa lelaki yang tinggal di bangunan sama berada di dalam sambil memegang telefon.
Lelaki itu memberitahu bapa mangsa bahawa dia akan memadam rakaman berkenaan sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Mengikut laporan polis, Tohmas ditahan pada 11 Oktober di sebuah premis di Lorong Wawasan 9A dan pihak polis merampas sebuah telefon pintar daripadanya.
Siasatan mendapati tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu namun mendakwa telah memadam video berkenaan.
Pemeriksaan terhadap telefonnya tidak menemui rakaman tersebut, namun polis menjumpai beberapa video lucah yang disimpan dalam peranti itu.
Mangsa turut mengecam tertuduh dengan pasti semasa sesi kawad cam dijalankan.
Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao Tharma Raja mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Akun Giman