
MUKAH: Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di tangga sebuah premis perniagaan di Jalan Setiaraja di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 malam hasil maklumat yang diterima oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Hasil pemeriksaan badan ke atas suspek menemukan satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, suspek yang bekerja sebagai nelayan dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah itu kini direman selama tiga hari sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan.
Oleh Tarani Lanting