
SIMANGGANG: Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi penahanan seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Rumah Ingak, Kampung Menalang B Undop, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, serbuan dijalankan sekitar 8.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 30 tahun itu membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 0.25 gram.
Katanya, bahan terlarang tersebut ditemui disembunyikan di dalam sebuah kotak rokok berwarna hitam hijau yang mempunyai tulisan Era Black Menthol.
“Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki terbabit turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Sri Aman bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut pihak polis.
Dalam pada itu, Superintenden Dennis menegaskan bahawa IPD Sri Aman kekal komited dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan secara berterusan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi memastikan kegiatan itu dapat dibanteras secara menyeluruh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Sri Aman menerusi talian 083-322121.
Oleh Adi Safarman