
SARATOK: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Bukit Kumpang Sebetan, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan itu ditahan hasil risikan dan tindakan pantas pihak polis.
“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa barang yang dipercayai hasil curi, termasuk tong gas MYGAZ 14 kilogram, guni baja sawit serta komponen senjata api jenis senapang patah yang disembunyikan di tepi jalan berhampiran tiang elektrik di Batu 3, Jalan Roban Lama,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Mathew, barangan yang dirampas termasuk satu but dan badan senapang patah, forearm senapang patah, serta satu laras barrel senapang patah dengan nombor siri M16.
Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamine.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960.
“Polis akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini,” tegas Mathew.
Oleh Adi Safarman