
LUBOK ANTU: Lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kendiri melibatkan motosikal di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Jelukong, Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada hospital berhubung insiden berkenaan sebelum segera menggerakkan pasukan ke lokasi.
Susulan itu, Pasukan MyASPA-O Bravo yang terdiri daripada empat anggota telah dikerahkan bagi menjalankan operasi menyelamat serta memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.
Setibanya di lokasi kejadian, anggota APM mendapati mangsa mengalami sakit di bahagian otot paha dan tulang belakang.

Anggota bertugas kemudian bertindak pantas memberikan rawatan awal bagi menstabilkan keadaan mangsa sebelum dipindahkan ke ambulans untuk tindakan lanjut.
Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Sri Aman bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk pemantauan dan rawatan susulan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas, selain segera menghubungi pihak APM menerusi talian 083-584639 atau 999 sekiranya berlaku kecemasan.
Oleh Adi Safarman