Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Lelaki Mesir dijatuhi hukuman cederakan anak saudara
  • JENAYAH

Lelaki Mesir dijatuhi hukuman cederakan anak saudara

Utusan Sarawak 2 years ago

Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara terhadap seorang lelaki dari Mesir akibat mencederakan anak saudaranya pada Disember tahun lalu.

KUCHING: Seorang lelaki dari Mesir dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara di Mahkamah Majistret hari ini akibat mencederakan anak saudaranya pada Disember tahun lalu.

Tertuduh Mohamed Magdy Badr Mohamed Badr, 35, mengaku bersalah apabila pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Farah Ibrahim.

Seksyen berkenaan membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak saudara isterinya iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh pada 27 Disember tahun lalu sekitar jam 7.00 malam di kediaman mereka sekeluarga di Tabuan Laru di sini.

Fakta kes mendedahkan tertuduh menumbuk pengadu di bahagian muka menggunakan tangan selain menendang badan pengadu menggunakan kaki.

Oleh sebab itu, pengadu mengalami kecederaan dan kesakitan di bahagian kedua-dua belah mata, paha serta bahu.

Bimbang akan keselamatan diri, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian setelah tertuduh menuduh pengadu mengambil wang miliknya yang diletakkan di dalam bilik tidur di rumah.

Difahamkan, pengadu menafikan bahawa dia mengambil wang tersebut namun pengadu dikatakan mengaku telah mengambil rantai perak milik tertuduh.

Bagaimanapun, pengadu dikatakan telah menyerahkan kembali rantai itu kepada tertuduh semasa kejadian berlaku.

Tertuduh diwakili peguam Lim Vui Seng manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Oleh NICKELYSON LAKUN

Continue Reading

Previous: Keinginan beli kereta Mercedes Benz Jip, lelaki rugi RM17,998
Next: Tuntutan palsu: Dua pegawai polis direman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.