
SIBU: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan lain di Jalan Kampung Nyabor, pada 17 April lepas.
Tertuduh, Yong Kung Chai, 41, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibaca dan diterangkan kepada oleh juru bahasa mahkamah dalam bahasa Foochow.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat isu pada kertas pertuduhan dan mengarahkan agar pertuduhan itu dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Majistret Romario Jonoi kemudian membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan sementara menunggu sebutan semula kes pada 4 Mei ini.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Sokolinkam Changgan sementara tertuduh tidak diwakili.
Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada malam 17 April 2026 apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu tertuduh telah menyebabkan kemalangan yang melibatkan lima kenderaan lain di Jalan Kampung Nyabor, berhampiran Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit positif Methamphetamine dan Benzo dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hasil siasatan awal juga mendapati suspek memandu bersendirian dari arah Jalan Pedada menuju ke Jalan Ulu Sungai Merah, dimana setiba di Jalan Kampung Nyabor, suspek telah membelok ke arah Jalan Sentral sebelum hilang kawalan dan melanggar lima kenderaan lain.
Oleh Akun Giman