

NAHAS… Keadaan kemalangan yang melibatkan kenderaan jenis pacuan empat roda.
BAU: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jagoi, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper.
Terdapat dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita.
“Salah seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Bau oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala seorang lagi mangsa lelaki yang merupakan pemandu didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Oleh Shahrul Qaizat