


KUCHING: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam mesin pengisar batu di sebuah kawasan industri milik Ibraco di Jalan Express Way, hari ini.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.40 pagi.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa yang diketuai PBK II Ramzai Talip segera bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga tempatan tersepit pada bahagian kipas mesin pengisar batu.
“Pasukan operasi melakukan penilaian awal di lokasi dan berusaha membuka nat di bahagian kipas mesin bagi mengeluarkan mangsa namun tidak berjaya.
“Seterusnya, komander operasi bersama anggota serta beberapa pekerja di lokasi menolak kipas mesin tersebut, dan mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada 11.33 pagi,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, mangsa yang berumur 37 tahun, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan enam anggota dengan sebuah jentera FRT. Tiada kecederaan lain dilaporkan.
Oleh Masrin Affirah