
KUCHING: Seorang lelaki berusia lingkungan 40an ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah apartmen di Jalan Batu Lintang, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.15 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergegas ke lokasi yang terletak sekitar satu kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati tersangkut di tingkat empat bangunan selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menunggu ketibaan pihak polis sebelum menyerahkan mangsa untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Kana Tawi dengan kekuatan 11 anggota menggunakan sebuah jentera bomba penyelamat (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Shikin Mahmud