

TEMU DAN HILANG… Anggota bomba ketika mencari dan menyelamat mangsa. Seorang meninggal dunia manakala seorang lagi masih hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berhampiran Ladang Surai, Simpang Lapok, Jalan Beluru–Long Teru petang tadi.
BELURU: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai berhampiran Ladang Surai, Simpang Lapok, Jalan Beluru–Long Teru, petang tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng menerima panggilan kecemasan pada 3.10 petang memaklumkan mengenai kehilangan dua mangsa yang dilaporkan mandi bersama beberapa rakan lain sebelum dihanyutkan arus kuat.
Komander Operasi, PBK II Liew Yee Mee berkata, sebaik tiba di lokasi, mereka dimaklumkan bahawa salah seorang mangsa, 20 tahun, telah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak bernyawa sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Bekenu untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi mangsa, berusia 18 tahun, dilaporkan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan oleh pasukan bomba di kawasan sungai terbabit.
Operasi turut dipantau oleh Ketua Balai BBP Lopeng, Hamdani Madon.
Seramai empat anggota dengan sebuah jentera D’Max digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pencarian.
Setakat berita ini ditulis, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Oleh Adum Liu