
MIRI: Seorang lelaki tempatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Lutong–Kuala Baram di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar 10.00 pagi ketika mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Lutong menuju ke pusat bandar.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun.
“Kedua-duanya bergerak ke arah yang sama ketika insiden berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan petang tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Liong Chai Ling