
SIMANGGANG: Seorang lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia selepas kereta sedan yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan kendiri di lampu isyarat Jalan Hollis, malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 11.07 malam.
Sebuah jentera Jentera bomba penyelamat (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dengan kekuatan sembilan anggota yang diketuai Komander Operasi, PBK I Noor Fakri Akmal, telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian yang terletak dua kilometer dari balai dalam tempoh dua minit.
Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah kereta jenis sedan telah terbabas ke dalam parit dan terdapat seorang mangsa lelaki dewasa berada di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Anggota bomba bertindak menggunakan peralatan pengusung (stretcher) dan tali keselamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan cara mengangkatnya keluar dari kenderaan tersebut.
Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pihak petugas perubatan yang berada di lokasi telah membuat pemeriksaan serta memberikan bantuan pernafasan (CPR).
Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Jeffry Emparang Johnson disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat turut dibantu oleh agensi lain termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM). Operasi tamat sepenuhnya pada 12.03 tengah malam.
Oleh Adi Safarman