
MIRI: Lelaki tempatan berusia 35 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan di Lebuh Raya Pan Borneo berdekatan Ladang Kosa Estate, Batu Niah dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku sekitar 7.50 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Niah menuju ke Miri.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang papan tanda jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizul Ab Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas.
Oleh Liong Chai Ling