
MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar penghadang jalan dalam satu kemalangan jalan raya di Bulatan Jalan Marina Utama, berhampiran Hotel Pullman, semalam.
Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah hari ini berkata, kejadian sekitar 3.00 pagi itu, mangsa dipercayai datang dari arah bangunan Majlis Bandaraya Miri menuju ke kawasan Miri Waterfront sebelum hilang kawalan ketika melalui bulatan berkenaan.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes kemalangan maut tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menggesa mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Faizul Abdul Rahim di talian 014-858 2582 atau 085-430 479 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Farhan menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan semua pihak.
Oleh Adum Liu