


SIBU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Toyota Fortuner dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan Proton X70 di Bulatan Kanowit/Durin, sekitar jam 1.59 petang semalam (30 Mac).
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati, kenderaan Toyota Fortuner yang menghala ke Sibu dari pekan Kanowit dan semasa tiba di tempat kejadian iaitu di Bulatan Kanowit/Durin telah dilanggar oleh kenderaan Proton X70.
“Kemalangan ini telah menyebabkan kenderaan Toyota Fortuner tersebut terbalik dan menyebabkan salah seorang penumpang berumur 56 tahun telah tercampak keluar dari kenderaan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan teruk pada bahagian kepala.
“Pemandu kenderaan Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan manakala empat orang lagi penumpang kenderaan Toyota Fortuner mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kanowit,” katanya menerusi siaran media, sebentar tadi.
Katanya, kesan kemalangan ini juga menyebabkan kenderaan Toyota Fortuner mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian kenderaan manakala kenderaan Proton X70 mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan.
“Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN