
KUCHING: Seorang lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika beriadah di Air Terjun Giam, Jalan Puncak Borneo di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 12.06 tengah hari hasil makluman orang awam.
Menurut beliau, mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan air terjun oleh orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Oleh Shikin Mahmud