
MIRI: Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 40 hingga 50-an maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti di Jalan Kuala Baram Batu Satu, Kuala Baram Bypass, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri mengesahkan pihak Balai Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 11.32 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa yang tidak dikenal pasti identitinya ketika itu sedang berjalan kaki di bahu kiri jalan sebelum dilanggar dari arah belakang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Miri sekitar 2.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kali terakhir mangsa dilihat oleh orang awam ialah pada hari sama, ketika berjalan mundar-mandir berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan memakai baju-T belang pelbagai warna, seluar jeans gelap dan kasut sukan ketika ditemui,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohammad Amiruddin Hamdan di talian 018-9529597 atau 085-433400.