
SIBU: Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Bulatan Sibu Jaya awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.09 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 40 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Pekan Sibu Jaya menghala ke Jalan Sibu Jaya Baru.
“Apabila tiba di bulatan, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan melambung jatuh ke tepi jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Sibu.
Menurutnya, motosikal berkenaan turut mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.