
MIRI: Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 40 hingga 50-an maut dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 826.9 Lebuh Raya Pan Borneo arah Miri-Bintulu pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menerima makluman berhubung kejadian sekitar 4.40 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang berjalan kaki telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ladang Tiga sekitar 4.05 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan menambah, mangsa belum dikenal pasti identitinya dan kali terakhir dilihat oleh orang awam pada 16 Oktober lalu di kawasan Kampung Subis 1, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
“Mangsa dilihat berjalan kaki tanpa berbaju dan hanya memakai seluar pendek. Tubuhnya berbadan sedikit gempal dan tidak mempunyai sebarang tatu,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Beliau turut menggesa mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Amiruddin Hamdan di talian 018-9529957 / 085-433400 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.