

SIBU: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta Perodua Alza di lampu isyarat Simpang Kemuyang, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.19 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta Perodua Alza. Didapati ada seorang mangsa motosikal ditemukan berada di bawah salah sebuah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.
“PKO turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain sebelum operasi ditamatkan pada 12.10 tengah malam,” ujarnya.
Oleh Akun Giman