
MIRI: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah pikap dan dua motosikal di Jalan Indah 2, Permyjaya, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 32 tahun serta pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Nor Afifah Nordin di talian 019-5264640 atau 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Liong Chai Ling