JAKARTA: Seorang lagi warga Malaysia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 biji pil ekstasi bernilai Rp2.9 bilion (RM658,460) yang disembunyikan di sebalik korset ke Indonesia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Jawa Timur.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda (Lanudal Juanda), Kolonel Henoch Nasarius Virzawan berkata dadah rampasan itu merangkumi 990 gram syabu dan 1,089 biji pil ekstasi yang dibungkus dalam lapan bungkusan.
Beliau berkata pegawai kastam menerima maklumat pada pagi 29 Julai berhubung seorang penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur disyaki membawa bahan terlarang berkenaan.
Pemeriksaan imbasan X-ray pada bagasi suspek berusia 22 tahun itu tidak menemukan sebarang bahan mencurigakan, mendorong pegawai menjalankan pemeriksaan badan yang membongkar kewujudan dadah yang dililit pada badan lelaki itu di sebalik korset berwarna hitam.
“Rampasan ini dianggarkan berjaya menyelamatkan sekitar 6,584 orang daripada menjadi mangsa penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi rakaman sidang media yang dikongsi kepada media hari ini.
Kes itu berlaku hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa Indonesia menahan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun dalam kes berasingan melibatkan rampasan sekitar 25 kilogram pil ekstasi di dalam bagasinya setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Henoch memaklumkan kejayaan tangkapan itu berpunca daripada koordinasi erat antara kawalan keselamatan tentera laut, kastam, imigresen, keselamatan lapangan terbang dan agensi lain di Lapangan Terbang Juanda.
Beliau berkata Tentera Laut Indonesia akan terus mempertingkat kerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengetatkan kawalan keselamatan sekali gus mengekang penyeludupan dadah melalui laluan udara. – Bernama





