KUCHING: Gara-gara melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah pada 12 Jun lalu, seorang tahanan warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Kelvin, 23 didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan hukuman penjara bagi Kelvin untuk dikuatkuasakan mulai dari tarikh tertuduh ditangkap, selain mengarah dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar 12.40 tengah hari di Balai Polis Tapah, Padawan 12 Jun lalu.
Menurut fakta kes, semasa pengadu (polis) memberi makan tengah hari kepada tahanan di dalam lokap, dua tahanan lelaki warga Indonesia iaitu Kelvin dan Bony tiba-tiba merempuh pengadu dari arah dalam lokap sehingga menyebabkan pengadu terjatuh.
Kelvin dan Bony terus meluru ke arah pintu utama balai polis yang bertutup dan berjaya membuka pintu hadapan kaunter aduan sebelum melarikan diri.
Pihak polis berusaha untuk mengejar kedua-dua lelaki berkenaan namun tidak berjaya. Malah, pengadu sempat memukul bahagian belakang salah seorang tahanan tersebut.
Kedua-dua lelaki itu juga dilaporkan melarikan diri ke arah kawasan hutan di belakang balai polis dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar lokap berwarna oren sahaja.
Pelbagai usaha dibuat oleh polis untuk mengesan mereka termasuklah mengadakan sidang media untuk memaklumkan kepada orang awam mengenai kejadian tersebut.
15 Jun lalu, pengadu telah menerima maklumat daripada orang awam melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan terdapat seorang lelaki tidak dikenali (Kelvin) telah datang dan meminta makan daripadanya.
Pengadu bersama sepasukan polis kemudiannya pergi ke tempat dinyatakan orang awam tersebut iaitu di sebuah kolam memancing di Batu 22, iaitu kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Tapah.
Setibanya polis di tempat kejadian, pengadu menjalankan soal siasat awal terhadap lelaki tersebut (Kelvin) dan dia mengaku telah melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah pada 12 Jun lalu.
Kelvin seterusnya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Tapah untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, usaha mencari Bony, 31, masih diteruskan. Menurut laporan media juga, polis percaya bahawa kedua-dua tahanan itu berpecah selepas mereka melarikan diri dari lokap.
Kelvin tidak diwakili peguam, sementara pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.
Oleh NICKELYSON LAKUN