KUCHING: Pertandingan kraftangan Iban anjuran Iban Women’s Charitable Trust (IWCT) kini membuka penyertaan kepada lelaki buat kali pertama, dengan seni pertukangan besi tradisional atau ‘Ngambuh’ diperkenalkan sebagai antara kategori baharu.
Pengerusi IWCT, Tan Sri Empiang Jabu berkata, pembukaan kategori berkenaan menjadi antara pembaharuan penting dalam Pertandingan ‘Pekit Pengelandik Jari IWCT 2025/2026’, yang turut diperluaskan ke peringkat seluruh Sarawak buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2013.
Katanya, pertandingan dwitahunan itu menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 111 peserta yang menghantar 122 hasil kraftangan dari pelbagai bahagian di Sarawak, termasuk Limbang hingga Lundu.
“Pertandingan ini bukan sahaja mengetengahkan kreativiti dan kemahiran kraftangan masyarakat Iban, tetapi turut memberi peluang kepada penggiat, khususnya dari kawasan luar bandar, untuk memperlihatkan kemahiran yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat umum.

“Pada tahun ini, kita membuka penyertaan kepada lelaki buat kali pertama dan memperkenalkan ‘Ngambuh’, iaitu pertukangan besi tradisional termasuk pembuatan ‘Duku Pengayau’ yang mempunyai nilai sejarah dan budaya dalam masyarakat Iban,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur kali kelapan di kediamannya di sini, hari ini.
Menurut Empiang, daripada keseluruhan penyertaan, 71 peserta adalah wanita manakala 19 lelaki, dengan peserta termuda berusia 19 tahun dan paling berusia 81 tahun.
Katanya, Kapit mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi, manakala peserta dari pelbagai kawasan lain turut sanggup menempuh perjalanan jauh bagi menghantar hasil kraftangan masing-masing.
Pertandingan berkenaan menampilkan sembilan kategori termasuk anyaman tikai bemban, Marik Empang atau tangu, Baju Kuas, Pua Kumbu, Kain Kebat, Kain Karap serta pelbagai bentuk tenunan tradisional Iban.
Empiang berkata, pengembangan pertandingan ke seluruh Sarawak membuktikan kemahiran kraftangan tradisional Iban masih hidup dan terus diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Pertandingan ini penting kerana kraftangan Iban bukan sekadar barangan hiasan. Ia membawa pengetahuan budaya, identiti, cerita dan kemahiran tradisional kita.
“Jika kraftangan ini tidak lagi diamalkan dan akhirnya pupus, sebahagian daripada identiti kita juga akan hilang,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu turut menjadi platform penting untuk membantu penggiat kraftangan luar bandar memperoleh pendedahan, pendapatan sampingan serta peluang meneroka pasaran baharu menerusi sektor pelancongan, acara kebudayaan dan industri kreatif.
Dalam pada itu, Empiang menggesa golongan muda menggunakan kemahiran digital dan platform media sosial bagi membantu memperkenalkan kraftangan tradisional kepada khalayak lebih luas.
“Kita mahu golongan muda menggunakan platform digital dan pengetahuan mereka untuk memberi nafas baharu kepada kraftangan kita supaya tradisi ini kekal relevan dan terus dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.
Bagi pertandingan tahun ini, tiga pemenang terbaik bagi setiap sembilan kategori akan menerima hadiah, selain lima hadiah saguhati bagi setiap kategori.
Hasil kraftangan yang memenangi pertandingan itu akan dipamerkan kepada orang ramai sempena majlis penyampaian hadiah pada 15 Ogos ini yang akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
IWCT yang ditubuhkan pada 2009 di bawah Ordinan Pertubuhan Kebajikan melaksanakan pelbagai program bagi memperkasa wanita dan komuniti, termasuk pembangunan kraftangan, inisiatif perniagaan kecil serta program kepimpinan akar umbi.
Empiang berkata, buat masa ini IWCT belum bercadang membawa pertandingan berkenaan ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa, sebaliknya memberi keutamaan untuk mengenal pasti lebih ramai penggiat kraftangan berbakat di seluruh Sarawak serta menambah kategori baharu pada edisi akan datang.
Beliau berkata, peningkatan jumlah penyertaan dan mutu hasil kraftangan dari tahun ke tahun merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan seni kraftangan Iban terus dipelihara dan diwarisi generasi seterusnya.
Oleh Shahrul Qaizat





