
SIBU: Seorang lelaki dilaporkan masih hilang selepas bot ekspres miliknya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kapal kargo di perairan Tanjung Kunyit, pada petang Selasa lalu.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kejadian berlaku sekitar 6.27 petang apabila pengadu yang mengemudi kapal kargo muatan kontena menyedari kehadiran sebuah bot ekspres yang semakin menghampiri kapal tersebut.
“Pengadu telah memperlahankan kelajuan kapal kargo, namun secara tiba-tiba bot ekspres tersebut melintas di hadapan dan terus melanggar bahagian hadapan kapal kargo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan pelanggaran itu, pengadu memberhentikan kapal kargo dan melakukan pemeriksaan sekeliling menggunakan teropong.
“Hasil pemerhatian, pengadu mendapati terdapat beberapa barangan dari bot ekspres terapung di permukaan air berhampiran kapal kargo, namun tiada kelibat penumpang kelihatan. Bot ekspres tersebut disahkan telah tenggelam,” jelasnya lagi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dimaklumkan mengenai insiden itu oleh pihak polis, sebelum menghantar Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke lokasi kejadian.


PASUKAN BOMBA……Menjalankan operasi SAR seorang mangsa hilang dalam kejadian kemalangan bot ekspres dan kapal kargo di Tanjung Kunyit.
Difahamkan, bot ekspres tersebut membawa barangan jualan untuk dihantar ke rumah panjang di pesisir Sungai Rejang dan Sungai Pasin.
Setakat ini, hanya seorang mangsa dikenal pasti terlibat, iaitu pemilik bot ekspres berkenaan yang berusia 64 tahun.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).