

LOKASI KEJADIAN… Kawasan mangsa dikhuatiri menjadi mangsa dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di tebing Sungai Lubok Punggor, Kampung Lubok Punggor, di sini petang tadi.
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di tebing Sungai Lubok Punggor, Kampung Lubok Punggor, di sini petang tadi.
Mangsa, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dilaporkan keluar menjala bersama ahli keluarga menggunakan perahu sejak awal pagi, sebelum insiden berlaku sekitar 4.00 petang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang, dan pasukan dari BBP Simunjan dan BBP Kota Samarahan segera dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 7.03 malam. Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan sementara pada 7.40 malam berikutan faktor keselamatan dan cuaca, dan akan disambung semula awal pagi esok,” menurut kenyataan hari ini.
Penduduk kampung turut melancarkan pencarian awal dalam radius 200 meter dari lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemui.
Hari pertama operasi SAR turut memberi fokus kepada mengumpul maklumat saksi dan menilai keadaan lokasi, bagi memastikan pelaksanaan pencarian penuh dapat dilakukan secara lebih menyeluruh esok.