
KAPIT: Lelaki yang dilaporkan hilang sejak 9 Ogos lalu ditemukan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Baleh Dam, Kapit petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 3.06 petang.
“Komander operasi mengarahkan anggota membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan didapati kereta terjatuh ke gaung sedalam 100 meter dari jalan utama.
“Tiada mangsa terperangkap di dalam kenderaan dan tiada operasi menyelamat dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa lelaki dewasa telah didapati telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum ditemui pada jarak 50 meter dari jalan utama. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta ahli keluarga mengeluarkan mangsa dari lokasi penemuan menggunakan pengusung skop dengan bantuan sistem tali untuk menariknya ke jalan utama.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Oleh Akun Giman