LUNDU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas ditemui terbaring tidak sedarkan diri berhampiran bot miliknya di Kampung Sebuluh Cina, di sini, petang tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, PBK I Khairul Mohamad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.16 petang sebelum pasukan tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.
Menurutnya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Lundu di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring tidak sedarkan diri berhampiran bot miliknya.
“Pihak KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. PKO Lundu kemudian mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan membawa mangsa ke kawasan rumah keluarga berhampiran sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, ibu mangsa menyedari anaknya tiada di rumah selepas pulang dari pasar kira-kira 8.00 pagi sebelum dimaklumkan bahawa mangsa ditemui terbaring di tepi bot oleh seorang individu.
Katanya, mangsa dipercayai mempunyai sejarah penyakit sawan sejak berusia 17 tahun.
Operasi yang dikawal pada 3.55 petang itu tamat sepenuhnya pada 4.15 petang, melibatkan enam anggota BBP Lundu bersama sebuah jentera Bantuan Kecemasan Ringan (LFRT) dan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Turut membantu dalam operasi ialah lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota KKM.
Oleh Afiq Sallehi



