
SIBU: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang lelaki tempatan yang ditemui meninggal dunia di Lorong Pejalan Kaki, Jalan Tukang Besi, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, penemuan mayat itu dilaporkan kepada Balai Polis Pusat Sibu sekitar 3.43 petang hasil panggilan orang awam.
“Hasil siasatan mendapati si mati dipercayai berbangsa Iban, berusia lewat 60-an, dikenali dengan nama panggilan ‘Uching Besi’.
“Si mati merupakan seorang gelandangan yang pernah didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mempunyai sejarah penyakit mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis kini sedang mengesan waris mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Pusat Sibu, ASP Binsin Lunjong di talian 017-8025675.
Oleh Tarani Lanting