
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia awal 50-an ditangkap polis bagi membantu siasatan kes memiliki senjata api yang dilaporkan pada 27 Oktober lalu.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu hari ini, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Task Force IPD Lubok Antu di kawasan Lubok Subong, semasa Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan petang semalam.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Lubok Antu untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi bersepadu berkenaan, seramai 27 pegawai dan anggota terlibat, dengan sebanyak 72 kenderaan dan 81 individu diperiksa, selain lima saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.


Ketua Polis Daerah Lubok Antu menasihati orang ramai agar tidak membeli, memiliki atau menyimpan sebarang senjata api tanpa kebenaran yang sah, termasuk senjata buatan sendiri dan senjata tiruan.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di bawah Akta Senjata 1960.
Pihak polis juga menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu.
Oleh Adi Safarman