
LUBOK ANTU: Lelaki berusia awal 40-an ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di kawasan Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, tangkapan dibuat selepas suspek disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan polis di lokasi operasi.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi yang sama, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang sekatan jalan raya dilaksanakan.
Operasi bersepadu itu diketuai oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, bersama kekuatan seramai 20 anggota daripada pelbagai pangkat.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 105 kenderaan telah diperiksa, manakala 120 individu turut menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan undang-undang.
IPD Lubok Antu memaklumkan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras jenayah serta meningkatkan tahap keselamatan awam.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak polis komited memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan Lubok Antu dan Engkilili sentiasa terjamin melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.
Oleh Adi Safarman