
KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pencerobohan sebuah bilik sewa di Lebuh Carpenter, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira 12.20 tengah malam semalam.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah serta meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah agar menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng